SEJARAH
PONDOK TOK AYAH KEDAH
Pondok Tok Ayah Kedah telah wujud di Panchor kira-kira pada awal abad ke 20M. Semenjak lebih 85 tahun ia terus tegak dan berfungsi hingga ke hari ini. Pondok Ayah Kedah merupakan asas bagi kelahiran Madrasah Al Tarbiah Mardhiah, Panchor. Kedua-dua institusi ini terus wujud dan berjalan seiring meneruskan matlamat melahirkan generasi pelajar muslim yang bertakwa dan berilmu. Pondok Tok Ayah Kedah merupakan antara institusi pengajian pondok yang termasyur yang berjaya menarik ramai pelajar dari seluruh pelusuk tanahair sejak dari zaman awal penubuhannya hingga ke saat ini. Malah ia telah berjaya melahirkan beberapa tokoh ulama` disamping pemimpin masyarakat yang disegani.
ASAL USUL
Nama Pondok Tok Ayah Kedah disandarkan pada seorang alim yang datang ke Panchor dan mengajar agama kepada penduduknya. Tok Ayah Kedah merupakan seorang alim keturunan Pattani. Nama sebenar beliau ialah Abdullah b. Mohd Tahir (Taha b. Tera) datuknya Tera ini berasal dari Pattani.
Abdullah dilahirkan di Kg. Jarak, Guar Petai, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Beliau merupakan anak bongsu dalam keluarga, dan tinggal bersama bapa saudaranya Pak Long Dahaman.
PENGAJIAN
Abdullah merantau ke Kedah, Perlis dan Pattani untuk mencari ilmu dari guru-guru yang terkenal. Antara gurunya ialah syeikh Jarom, syeikh Kadir (Yan) dan Hj. Idris Keramat (Kg. Padang). Manakala guru-gurunya di Pattani ialah Tok Che `Ak, syeikh Pak Bak dan Tok Kelabar. Sewaktu di Pattani Abdullah telah berkahwin dengan Mariam, dan memperolehi seorang anak yang bernama Ahmad (Ayah Long).
Daripada Pattani Abdullah kemudian merantau ke kelantan.Beliau menjadi sahabat Tok Kenali dan megajar bersama sama di Pondok Kenali ,antara ulamaksemasa dan menjadi sahabatnya di Kelantan ialah Tok Bachok Tua, Taun Tabal, Tok Selehor dan haji wan musa.
Sewaktu mengajar di pondok Kenali,antara murid beliau ialah Tok Nik Mat Alim (bapa kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz). Pada waktu itu juga Daud bin said (Tok Chu Haji ) dan pada saudaranya Abdul Rahman(?) sedang menuntut di Pondok Kenali.Kerana minat yang mendalam dan tiada guru agama di kampung, Abdul Rahman dan rakan-rakan sangguo berulang-alik dari Panchor ke Kenali untuk belajar mengenali Tok Ayah Kedah.Abdul Rahman mengajak beliau mengajar agama seminggu sekali di Kg Panchor.Pengajian agama ini di lakukan atas Balaisah pada waktu malam dan waktu pagi.Pendengarnya sekitar 20 orang sahaja.Balaisah ini dibina dengan keluasan 12'x 20'.Serambinya di sebelah kanan dan kiri lebih rendah dari rumah ibu.
MENETAP DI PANCHOR
Bagi memastikan Tok Ayah Kedah terus menetap di Panchor, orang-orang tua mencadangkan agar Tok Ayah Kedah dikahwinkan dengan orang tempatan. Mereka mencarikan calon isteri, dan setelah dipersetujui oleh Tok Ayah dan bapa pihak perempuan, beliau pun berkahwin dengan Raja Mariam bt. Raja Daud iaitu saudara seibu kepada Tok Chu Haji Daud. Semasa upacara akad nikah akan dilakukan, apabila ditanya oleh Syed Salim (Tok Ku Lim), barulah beliau menamakan dirinya `Haji Mohammad Arsyad` kerana sebelumnya beliau dibahasakan dengan panggilan `Tok Ayah` atau `Tok Guru` sahaja.
PONDOK TOK AYAH KEDAH
Semasa kedatangan Tok Ayah Kedah ke Panchor, Hanya terdapat lima buah rumah sahaja, manakala penduduknya sekitar 20 orang. setelah beliau berkahwin dan menetap, banyak pondok-pondok di situ dikenali sebagai `Pondok Tok Ayah Kedah`. Penduduknya semakin bertambah dan terdapat kira-kira 15 hingga 20 buah pondok di sekitar rumah Tok Ayah Kedah. Kebanyakan orang yang berpondok di situ datang dari Pengkalan Chepa, Kemumin, Tok Ku (Kedai Lalat), Pulau Belacan, dan beberapa kampung lain yang berhampiran.
SIFAT DAN PERIBADI
Tok Ayah Kedah seorang yang sederhana. beliau suka memakai pakaian berwarna putih, dan tidak pernah kelihatan memakai kopiah (ketayap). walaubagaimanapun beliau gemar memakai serban. lilitan serbannya kemas dan tidak menampakkan rambut.
Tok Ayah Kedah sangat dihormati dan disegani oleh masyarakat setempat. Ini kerana selain dari alim dan wara`, beliau juga bersifat peramah, pemurah dan lemah lembut. disamping sifat-sifat terpuji ini, beliau juga dikenali sebagai seorang yang keramat. sewaktu Jepun mendarat disepanjang Pantai Sabak dan Pantai Pak Amat (pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1941M), para penduduk Panchor dan kampung sekitarnya, termasuk sabak dan Pak Amat, telah menjadikan kawasan Pondok Tok Ayah Kedah sebagai tempat perliundungan dari gangguan dan keganasan tentera Jepun.
KERAMAT
Kekeramatan Tok Ayah Kedah telah diketahui semenjak beliau mengaji di Kedah. Suatu ketika guru beliau Syeikh Jarom telah memintanya menghadiri majlis kenduri di Hulu Kedah yang perjalanannya sukar dan memakan masa lebih dari sehari semalam. Beliau dengan izin Allah SWT selamat sampai ke sana dan membawa balik bersamanya pulut dan gulai yang masih panas untuk diberikan kepada Syeikh Jarom dengan kata-kata; "Tok Guru, Baginda Sultan kirim salam dan ini (pulut dan gulai) adalah untuk Tok Guru".
Selain dari itu, semasa di Panchor beliau kerap melakukan perkara-perkara luar biasa dan menjadi buah mulut masyarakat. Antaranya memasak nasi dalam upih nibong, nasi masak tetapi upih nibong tidak terbakar, merebus ubi keling atas dapur tanpa menyalakan api, tapai pulut masak sebaik sahaja dibungkus dan boleh terus dimakan tanpa perlu menunggu 2-3 hari sebagaimana biasa, pangkal (umbi) kayu yang besar menjadi ringan apabila disentuh oleh beliau dan boleh diangkat walaupun oleh mereka yang berbadan kecil. Kerana keistimewaan-keistimewaan Tok Ayah Kedah, Kampung Panchor menjadi aman dan semakin masyur. Keadaan ini berterusan sehingga hari ini, lebih-lebih lagi dengan adanya Madrasah Tarbiah Mardhiah yang Wujud sejak 50 tahun dahulu, dan menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari seluruh pelusuk tanah air.
MENINGGAL DUNIA
Tok Ayah Kedah meninggal dunia pada hari jumaat malam sabtu, 10 zulhijjah 1361H / 18 Disember 1942M dalam usia lebih 70-an. Beliau meninggalkan 8 orang anak iaitu Ahmad (Ayah Long Pattani), Mohd Zain (Ayah Wa), Mahmood (Pak Lang), Abdul Rahman (Pak Da), Mohd Salleh (Pak Cik), Mohd Yusoff (Pak Teh), Nik Abdullah (Pak Nik) dan Umi Kalthom (Mak Su).
|